Monday 19 November 2012

Berseronok Di Lost World Of Tambun

Tambun, Perak

Lost World of Tambun (LWOT) merupakan taman tema air terbesar di Malaysia dan mempunyai pelbagai tarikan yang hebat. Walaupun baru beberapa tahun dibuka kepada umum, namun sehingga kini sambutan yang diterima daripada orang ramai cukup memberangsangkan.

Taman tema air yang pertama di Ipoh ini merupakan Sunway Lagoon versi Ipoh seperti mana yang terdapat di bandar Sunway, Kuala Lumpur. Namun berbeza dengan Sunway Lagoon, pemandangan sekeliling LWOT dilatari keindahan alam semula jadi dengan pemandangan hutan batu kapur yang indah, dipercayai berusia lebih 400 tahun, selain tasik yang tenang menghijau dan gunung yang membuatkan anda berasa seperti penjelajah National Geographic.


 

Ini petanda bahawa LWOT berpotensi besar sebagai antara destinasi pelancongan menarik khususnya di negeri Perak. Malah persekitaran LWOT yang sehingga kini masih terpelihara juga menjadikan taman tema air ini cukup unik dan menyegarkan pandangan.

Di LWOT, selain dapat bermain air dengan meredah sungai buatan sepanjang 600 meter, 'perjalanan' selama 15 minit di dalam air itu diiringi bunyian dan seni bina memukau seperti Istana Lama, Kota Katak, Lembah Monyet dan runtuhan Kota Lama.

 

Untuk menikmati permainan air yang mencabar fizikal dan mental, para pengunjung boleh mencuba empat jenis gelongsor pelampung dan ‘cliff racer’, masing-masing sepanjang 100 hingga 155 meter. Ia memang menyeronokkan.

Selain itu, keistimewaan LWOT ialah kolam mandi berombak seluas 3,200 meter persegi yang dilengkapi dengan tujuh gelombang ombak buatan yang berbeza. Di sini pengunjung pasti terasa seperti benar-benar berada di pantai kerana lengkap dengan pasir halus memutih dan tempat bermain bola tampar yang memang sinonim sebagai sukan pantai.
 

Selain itu, tarikan unik lain ialah Lembah Harimau. Di sini pengunjung boleh menyaksikan pelbagai aksi istimewa yang dilakukan oleh beberapa ekor harimau yang dipelihara. Jika pengunjung bernasib baik, mereka boleh mengambil kesempatan untuk bergambar bersama beberapa ekor anak harimau yang comel dan jinak.
Buat para pengunjung yang masih belum puas bermain air, LWOT turut menyediakan kemudahan beriadah untuk seisi keluarga seperti kolam mandi air panas yang lebih dikenali sebagai Tambun Hot Springs. Kolam khas ini menggunakan air panas yang disalurkan daripada sumber asalnya kira-kira 600 meter dari LWOT. Rehatkan minda dan tubuh anda dengan berendam dalam air panas yang dipercayai baik untuk kesihatan kulit.

Apabila sudah penat bermain air, pengunjung boleh berehat seketika dengan menjamu selera di Restoran Waves atau Bazar Tambun LWOT sebelum menyambung semula aktiviti anda. Kali ini, bolehlah mencuba permainan di taman tema kering seperti Dragon Flight, Perak Parade, Giddy Galleon atau bersantai dengan menaiki keretapi Adventure Express mengelilingi taman.

Untuk kenang-kenangan, LWOT juga menyediakan sebuah kedai cenderahati yang menjual pelbagai jenis barangan ekslusif.
LWOT dibuka pada jam 11 pagi hingga 6 petang, setiap hari Isnin hingga Jumaat. Manakala pada hari Sabtu, Ahad dan cuti umum, taman tema air ini akan dibuka jam 10 pagi hingga 6 petang.
Selain keluarga dan percutian peribadi, LWOT juga menjadi pilihan pelbagai syarikat awam dan swasta untuk melakukan pelbagai aktiviti kekeluargaan contohnya sukaneka atau hari keluarga. Ini kerana kemudahan serta keselesaan yang ditawarkan di taman tema air ini cukup berbaloi dengan bayaran masuk yang dikenakan iaitu RM21 untuk orang dewasa dan RM16 bagi kanak-kanak.

Info:
Nama: Lost World of Tambun
Lokasi: Sunway City, Ipoh, Perak
Makanan: Restoran khas di dalam gua yang boleh disewa untuk sebarang majlis termasuk majlis meraikan perkahwinan, sambutan hari lahir dan jamuan.
Penginapan: 1. Hotel bajet yang baru dibuka untuk penginapan pengunjung dengan kadar sewa berpatutan2. Tiga tapak perkhemahan yang mampu memuatkan antara 50 hingga 200 khemah untuk menjalankan aktiviti bina semangat atau hari keluarga
Waktu operasi: 11 pagi hingga 6 petang setiap Isnin hingga Jumaat.Tiket: RM21 (dewasa), RM16 (kanak-kanak)
Laman web: www.sunway.com.my/lostworldoftambun

No comments:

Post a Comment